Photobucket

Sunday, September 5, 2010

4

Suria menapak menaiki anak tangga flat itu satu persatu selepas dia ternampak notis yang ditampal menyatakan lif flat tempat dia berteduh ini rosak.  Rumahnya di tingkat lapan dan kini hanya tinggal setingkat saja lagi untuk dia sampai ke pintu rumahnya.  Langkah kakinya perlahan kerana perutnya dah penuh dan kekenyangan.  Dia melawan mata yang mengantuk.

Nasib dia baik sebab Tuan Haji Fadil dan Hajah Aishah yang menghantar dia balik ke rumah.  Memang begitulah kebiasaannya bila dia pulang lewat sama ada berkaitan hal kerja atau lain-lain semacam ini sebab dia tiada kenderaan sendiri.


Umai lain.  Dia mampu jugak pakai kereta Kelisa walaupun second hand sebab Umai tak ada tanggungan.  Dia anak bongsu dari tiga beradik perempuan.  Ibu bapa Umai pun orang berada.   Kakak-kakak Umai pun dah berkeluarga dan beranak pinak. Tinggal Umai sahaja yang masih bujang.   Jadi tiada apa yang hendak Umai kisahkan. 

Tapi Suria tak boleh.  Bukan tak cukup duit gajinya kalau setakat nak membayar ansurans kereta Kancil second hand, tapi dia ada banyak tanggungjawab. Kena bantu Angah di kampus.  Lepas tu, kena hulur duit belanja dengan Emak di kampung.  Bolehlah setakat untuk menampung makan minum Emak.


Mula-mula dulu Emak marah bila dapat tahu dia nak cari kerja di Kuala Lumpur.  Kata Emak keputusan STPM dia bagus, boleh sambung belajar di Universiti.  Tapi disebabkan dia keras kepala, akhirnya Emak mengalah.  Mungkin telinga Emak dah imune mendengar alasan yang dia berikan.

 "Kalau setakat nak belajar, bila-bila pun Ya boleh belajar Mak..", entah bila masa tu akan muncul, dia pun tak pasti kalau sekarang ini pun, hidupnya umpama kais pagi makan pagi, kais petang membawa ke malam.
 "Ikut suka hati kamu lah Ya. Nanti kalau kamu susah, jangan kamu nak salahkan emak", emak dah surrender tapi sempat lagi nak mengugut aku.
 Tapi Suria buat pekak.  Buat tak tahu.  Hatinya dikeraskan umpama batu.  

Dan disinilah dia akhirnya. Di Kuala Lumpur yang pesat membangun ni.  Yang penuh dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang tegak dan gagah berdiri. Yang serba serbinya mahal dan mencekik darah.  Penghuninya yang tidak menjaga tepi kain orang lain. 


Suria seluk beg sandangnya dan mengambil segugus kunci.  Kemudian dia buka mangga rumah.  Pintu dikuak perlahan.
 Gelap ! Tangannya meraba-raba mencari suis lampu di tepi dinding pintu masuk. 


"La..ada rupanya minah ni", Suria menapak perlahan menuju ke arah tubuh yang sedang lena di hadapan TV yang terpasang.


"Jojo...Jojo...bangun..", dia gegar badan yang sedikit besar itu.  Masih diam dan tidak memberi respon. 


"Jojo...!!", jeritan itu membuatkan Jojo bangun dengan tak semena-mena.   Cuba membuka mata yang terpejam rapat.


"Emmm...janganlah kacau.  Aku mengantuk ni", suara serak-serak basah itu kedengaran.  Jojo mula hendak baring semula.  Suria bercekak pinggang.
 "Tidur lah dalam bilik...", dia memberi arahan.

Jojo tendang angin dengan kakinya yang besar.  Suria beralih ke tepi sedikit sebelum menuju ke dapur.  Dia nampak dari ekor mata, Jojo dah duduk bersila.  Cute, dia ketawa sendiri.


Jojo atau nama dalam MyKadnya Juriah.  Sangat comel dan montel. Suria senang dengan Jojo.  Walaupun Jojo hanya promoter di kiosk perfume di Sogo, tapi dia baik hati.   Pandai masak adalah kelebihan Jojo.  Jojo masak telur mata kerbau pun sedap bagi tekak Suria. 
 Suria kenal Jojo melalui Ali, anak jiran Pak Mail yang duduk di seberang jalan bertentang dengan rumahnya di kampung.  Ali sekarang kerja navy di Sungai Besi. 

Mana nak sangka, Ali yang dulu nakal dan jahat masa kecil dah jadi pegawai tinggi di tempat kerjanya.  Kalau dikenang-kenang balik, Ali yang comot tu suka sangat mengganggu dia dan Angah ketika mereka pulang dari sekolah.  Pernah merreka berdua membaling Ali dengan pelepah kelapa sebab tak tahan dengan perangai Ali.  Tapi itu dulu. 


Suria ke ruang tamu semula dan Jojo dah tak kelihatan.  Dah masuk bilik barangkali.  Dia menuju ke pintu rumah.  Suis lampu ditekan.  Gelap !

No comments:

Post a Comment